Caj tandas Mamak bermula
Oleh Sarah Zulkifli |
Beberapa restoran Mamak di sekitar ibu kota kenakan bayaran 30 sen walau dapat bantahan ramai
KUALA LUMPUR: Walaupun mendapat bantahan dan kritikan orang ramai serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kebanyakan restoran Mamak di ibu negara mula mengenakan caj 30 sen bagi penggunaan tandas di restoran mereka, semalam.
Ini termasuk beberapa restoran mamak di sekitar Pasar Seni di sini, yang sudah mengutip bayaran daripada pelanggan yang menggunakan tandas, sejak sebulan lalu.
Tinjauan mendapati notis caj 30 sen untuk menggunakan tandas ditampal di pintu bilik air tetapi keadaan di dalamnya tetap sama seperti sebelum bayaran dikenakan dulu.
Keadaan itu bertentangan dengan kenyataan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Jamarulkhan Kadir, pada 6 Februari lalu yang mendakwa bayaran itu terpaksa dikenakan terhadap pengguna bagi menyerap kos tambahan seperti menyediakan tisu, sabun dan perhiasan seperti pokok bunga untuk mengindahkan tandas sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM’07).
Pelajar kolej swasta, Thilaga Radhakhrishnan, 19, berkata kualiti dan kebersihan tandas di restoran Mamak terbabit boleh dipertikaikan dan tiada perubahan dilakukan pemilik restoran berkenaan.
“Saya pelik kerana keadaan tak jauh beza dari segi kebersihan mahu pun kemudahan yang disediakan seperti tisu dan sabun.
“Tentulah tak masuk akal mereka mengenakan bayaran kepada pengguna dan bagi saya pemilik restoran perlu mengindahkan tandas supaya pengguna tidak marah,” katanya.
Mohd Helmi Ahmad, 31, berkata tindakan mengenakan bayaran penggunaan tandas tidak wajar kerana pelanggan yang makan di restoran berkenaan sepatutnya boleh menggunakan kemudahan itu tanpa sebarang bayaran.
“Saya pelik kerana ini kali pertama saya dikenakan bayaran masuk ke tandas Mamak. Memang tak patut langsung kerana saya sudah makan di sini (restoran Mamak), bukan sekadar hendak ke tandas,” kata pekerja swasta itu.
Pelajar, Sarah Wardah Ibrahim, 18, berkata dia tidak kisah jika bayaran dikenakan memasuki tandas di restoran itu, asalkan kebersihannya dijaga dan kemudahan tertentu disediakan di situ.
“Saya rasa tak mengapa jika restoran Mamak hendak mengenakan bayaran, tapi biarlah tandas itu dalam keadaan yang bersih, elok dan wangi,” katanya.
Peniaga di kedai berdekatan restoran itu, Zaini Rashid, 26, berkata dia terpaksa membayar untuk menggunakan tandas itu kerana tiada tandas awam berhampiran tempatnya berniaga.
“Susahlah macam ini, jika sekali masuk dah 30 sen, bayangkan jika sehari lima kali masuk?
“Hendak atau tidak, saya terpaksa bayar kerana tiada tempat lain lagi yang lebih dekat,” katanya.